Selasa, 20 Julai 2010

Suami Idaman Isteri...


وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ} (21) سورة الروم
Yang bermaksud :
" Dan diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasan nya ialah,
Dia menciptakan isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu
cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikannya
diantara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada
yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir"
Mas bukanlah pakar motivasi, bukan juga penceramah hebat seperti ustazah Siti Nor Bahiyah. Cuma mas punya satu hobi hujung minggu. Membaca ruangan pengajaran keluarga di akhbar. Bagi mas, boleh mengambil pengajaran dari pengalaman orang lain adalah lebih baik daripada kita sendiri mengalami pengalaman tersebut.

Sering kita dapati, sama ada di majalah-majalah, buku-buku mahupun laman-laman web, isu yang membincangkan CIRI-CIRI WANITA IDAMAN, atau CIRI-CIRI ISTERI IDAMAN SUAMI... kebanyakan tajuk-tajuk ini ditulis oleh kaum lelaki, yang membayangkan isi hati mereka tentang wanita atau isteri idaman mereka... Namun amat jarang kita temui hasil tulisan yang memperkatakan tentang hasrat hati seorang wanita.

Bagi memenuhi fardhu kifayah tersebut mas cuba ketengahkan tajuk ini ... Secara umumnya inilah harapan seorang wanita bergelar isteri. Semoga dapat dijadikan panduan buat lelaki bergelar suami atau yang bakal bergelar suami...

SUAMI IDAMAN ISTERI...

1-Bagi yang ingin menjadi suami idaman, perlulah dimulakan dengan niat. Berniat dan berdoalah untuk menjadi suami yang terbaik untuk pasangan anda. Dengan niat, insyaAllah usaha anda akan lebih diberkati.

2-Bersyukurlah dengan pasangan anda. Percayalah, sekiranya niat anda berkahwin kerana Allah, pemilihan isteri juga melalui istikharah, maka isteri anda adalah insan terbaik untuk diri anda yang telah Allah tentukan. Yakinlah...

3-Hormatilah isteri anda sebagaimana anda mahu dia menghormati anda. Muliakan dia sebagaimana anda mahu dia memuliakan anda dan layanilah dia dengan adab yang baik sebagaimana anda mahu dia melayani anda dengan baik-baiknya.

4-Pastikan anda punya masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Komunikasi adalah antara instrumen terhebat dalam sesuatu perhubungan ... Tanya diri anda, berapa minitkah yang anda luangkan dalam sehari untuk berbual dengan isteri...Carilah jalan untuk mencipta topik..

Lima minit sebelum tidur adalah antara masa emas suami isteri untuk mengeratkan hubungan. Berbuallah sebelum melelapkan mata... Namun sayang, ramai diantara para suami lebih suka menghabiskan masa sebelum tidur mereka dengan hobinya sendiri.

5-Manfaatkan masa hujung minggu anda dan cuti umum untuk sentiasa berada dekat dengan isteri. Jangan biarkan waktu-waktu tersebut berlalu tanpa sebarang pengisian bersama. Isilah dengan sebarang aktiviti bersama keluarga. Cukuplah masa kerja, anda bersama teman-teman...

6-Eratkan hubungan dengan gurau senda dan lawak jenaka. Hidupkan amalan usik-mengusik dalam rumahtangga. Anda akan dapati ianya ibarat penambah rasa dalam masakan...Memang membahagiakan..

7-Perasaan perlu diungkapkan...Ungkaplah rasa kasih dan cinta anda kepada isteri. Seandainya anda 'tak pandai' untuk menutur kata-kata cinta tersebut, jadikanlah sms atau email sebagai medium untuk menyatakan perasaan anda itu...Pengakuan tersebut akan menyuburkan lagi rasa cinta dan kasih isteri terhadap anda...

8- Cintailah isteri anda setulusnya. Cinta yang tanpa syarat. Seharusnya rasa cinta dan kasih tersebut semakin bertambah dengan bertambahnya usia...

9-Seandainya anda out station, sering-seringlah bertelefon atau sekurang-kurangnya kirimlah sms untuk bertanya khabar dan memberi maklumat anda. Ketahuilah wahai para suami, 3 patah perkataan, "Apa khabar sayang" mampu membuatkan si isteri tersenyum lena hingga ke pagi.

Malangnya ramai dikalangan suami terlupa perkara ini. Mungkin beranggapan si isteri sememangnya selamat di rumah. Lalu mereka lebih senang dan seronok bersms sesama teman atau rakan sekerja berbanding dengan isteri di rumah.

10- Pekalah terhadap emosi isteri. Sememangnya wanita adalah makhluk Allah yang dipenuhi dengan pelbagai emosi . Ambil berat dengan keperluan dan kemahuan isteri...Jadikanlah diri anda sebagai penawar jiwa untuk isteri ...

11- Jagalah rahsia isteri. Jangan sewenang-wenangnya bercerita tentang isteri kepada teman-teman anda. Mungkin bagi anda 'cerita' itu perkara biasa dikalangan lelaki, tapi bagi isteri anda, ianya menyentuh maruahnya sebagai isteri dan perempuan. Terasa maruahnya bagai dijaja...

12- Carilah peluang untuk bersikap romantis dengan isteri sama ada melalui sikap, kata-kata, sentuhan atau pandangan yang bersesuaian dengan adab kita sebagai orang islam dan masyarakat timur...pasti isteri anda akan lebih menghargai anda...

13- Pamerkan keprihatinan yang tinggi terhadap keluarga. Dahulukan keperluan keluarga berbanding orang lain. Sering berlaku si isteri berasa tidak dipedulikan apabila si suami bersikap lebih mementingkan teman-teman berbanding keluarga.

14- Dengarlah luahan si isteri walau sesibuk mana pun anda. Kerana, jika tidak kepada anda sebagai suaminya tempat untuk dia meluahkan perasaan, kepada siapa lagi... Jangan biarkan dia tersilap langkah...

15-Seandainya anda berselisih, atau hubungan anda bermasalah, cubalah berbincang dari hati ke hati. Singkirkan emosi ketika berbincang, sebaiknya gunakan akal dan rasional anda dengan berpandukan iman dan taqwa.

Elakkan dari mencurah masalah tersebut kepada orang ketiga lebih-lebih lagi isteri orang, atau wanita lain, walaupun wanita itu sahabat karib anda. Kerana ia bukan jalan penyelesai masalah, tapi mungkin sebaliknya akan berlaku. Jangan cuba-cuba membuka pintu kecurangan.

16- Hargailah apa yang isteri buat untuk anda. Berikanlah ucapan terima kasih dan nyatakan penghargaan anda untuknya.

Isteri sanggup korbankan apa sahaja untuk suami hatta nyawanya sendiri. Apa yang diingini oleh isteri hanyalah sedikit penghargaan dari insan bergelar suami...

17- Seandainya isteri berasa cemburu kerana anda berbual di telefon atau bersms dengan wanita lain, ketahuilah, cemburu itu datang dari perasaan kasih dan cintanya terhadap anda.

18- Semua isteri ingin berasa dekat dengan suami. Perasaan ini boleh hadir melalui sentuhan dan belaian. Selalulah membelai isteri anda walaupun dengan hanya ciuman dan dakapan selamat malam sebelum mata terlena dan kucupan selamat pagi sebelum anda meninggalkan katil. Ianya mampu mendamai hati si isteri sepanjang hari.

Tanpa sentuhan, perasaan isteri boleh menjadi 'kering' terhadap suami. Semakin lama usia perkahwinan, semakin sibuk tugas di pejabat, para suami semakin terlupa untuk membelai si isteri. Tidak ramai suami yang tahu bahawa si isteri lebih rela menangis sendiri dari meluahkan rasa kecewanya terhadap suami.

19- Bersikap jujurlah dengan pasangan. Jangan berahsia dengan isteri tentang aktiviti seharian anda. Sikap itu akan mencetus perasaan curiga sekaligus mengikis kepercayaannya terhadap anda.

20-Berikanlah kepercayaan anda kepada isteri sebagaimana dia mempercayai anda ...

21-Sentiasalah berbincang hal-hal yang berkaitan dengan rumah tangga. Buatlah keputusan berdasarkan persetujuan bersama.

21- Bantulah isteri melakukan kerja-kerja rumah. Selain meringankan beban isteri, ianya sunnah yang akan mengeratkan kasih sayang dan hubungan anda suami isteri.

22- Bersikap matang dalam menangani sesuatu perkara. Bijak dalam menyelesaikan masalah. Isteri pasti akan lebih menghormati suami yang bijak mengawal keadaan.

23- Jadilah pelindung kepada isteri. Pastikan si isteri berasa selamat untuk hidup bersama anda.

24-Amalkan makan bersama . Berbuallah sambil makan, ianya juga mampu mengeratkan hubungan anda berdua dan keluarga ...

25- Mudah meminta maaf, dan mudah memaafkan orang lain. Pasti isteri anda akan lebih menghormati anda.

26- Nyatakan kesukaan dan kebencian anda terhadap sesuatu, Supaya isteri anda boleh berusaha untuk melakukan apa yang anda suka, dan menjauhi apa yang anda benci.

27- Berikanlah nafkah mengikut kemampuan anda. Ramai suami yang mengabaikan nafkah dengan anggapan si isteri juga bekerja.

28- Didiklah isteri dengan sentiasa memberi ingatan dan panduan secara berhikmah. Amalkan solat berjemaah diwaktu anda berdua berada di rumah.

29-Seandainya isteri tersilap, tegurlah dengan berhikmah dan penuh kasih sayang. Isteri merajuk bukan kerana teguran, tetapi kerana cara anda menegur.

30-Sentiasa taat perintah Allah, serta peliharalah keluarga supaya sama-sama taat kepada kepada Allah.

31-Muliakan keluarga isteri sebagaimana anda mahu keluarga anda dimuliakan. Jangan membezakan keluarga kedua-dua belah pihak...

Wallahua'lam...





2 ulasan:

  1. Subhanallah.. terima kasih kerana kongsi ini, membantu dalam usaha nak jadi yang terbaik :)

    BalasPadam
  2. people no longer appreciate what they have until they no longer have it....

    BalasPadam