Selasa, 15 Disember 2009

Antara lidah, tinta dan airmata....

Wanita adalah makhluk istimewa yang dicipta Allah SWT. Allah ciptakan wanita dengan sifat-sifat semula jadinya yang tersendiri. Sudah pasti wanita berbeza dengan lelaki. Islam melarang lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya. Hadith nabi yang diriwayatkan oleh al-Bukhari:

عن إبن عباس رضي الله عنهما قال : لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم المخنثين من الرجال والمترجلات من النساء

Maksudnya: “Daripada Ibn Abbas r.a berkata: Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita”.

Begitu juga hadith riwayat Abu Daud berbunyi:

عن أبي هريرة رضى الله عنه قال: لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم الرجل يلبس لبسة المرأة والمرأة تلبس لبسة الرجل

Maksudnya: “Daripada Abi Hurairah r.a. dia berkata: Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki"

Selain cara berpakaian dan cara berfikir perbezaan yang paling ketara antara wanita dan lelaki ialah dari segi hati dan perasaan...

Wanita telah dikurniakan dengan hati dan perasan yang cukup halus dan sensitif.
kaya dengan emosi. Kasih, sayang, cinta, benci, suka, marah... Segalanya terkandung di dalam jiwa seorang wanita. Hanya iman, dan akal yang mampu mengurus segala perasaan dan emosi ini untuk disalur dan diluahkan dengan cara yang terbaik.

Ramai diantara kita yang lebih suka memendam segala emosi yang bergelodak di dalam jiwa... Berlakon seolah-olah tiada apa yang berlaku. Sedangkan hati di dalam berkecamuk dengan pelbagi rasa. Perkara-perkara seperti inilah kalau dibiar dan dipendam terlalu lama, ia boleh menjadi barah. Kalau emosi yang dipendam ini tidak diurus dengan baik, andainya ia meletup, satu letusan yang lebih dasyat dari letusan pinatubo pasti berlaku.

Ada pelbagai cara dan kaedah seseorang wanita meluahkan emosi yang terpendam. Ada yang memilih cara agresif, ada juga yang memilih cara yang lebih berdiplomasi.

Lidah, tinta dan air mata...

Itulah tiga cara yang selalu digunakan oleh wanita untuk melahirkan emosi yang terpendam...

Lidah merupakan pendekatan yang paling mudah digunakan untuk melepaskan perasaan. Segala yang berbuku didada dapat diluahkan. Cakap sahaja apa yang ada di kepala dan didada. Semuanya dapat dihamburkan. Namun menggunakan lidah sebagai medium untuk melepaskan perasaan ada pro dan kontranya.


Lidah tidak bertulang, lidah lebih tajam dari mata pedang, terlajak perahu boleh diundur, merupakan antara peribahasa melayu yang sering digunakan untuk menyatakan betapa bahayanya lidah jika digunakan tanpa dipandu dengan akal dan iman. Ini kerana, apabila seseorang dikuasai oleh emosi,akal tak mampu berfikir secara rasional,dan kata-kata yang keluar dari mulut, selalunya tajam menhiris.


Bagi mas, Mas tak berapa pandai nak meluahkan perasaan melalui lidah. Mas pernah cuba menggunakan lidah untuk meluahkan rasa tak puas hati mas, rasa kecewa mas, dan meluahkan keinginan dan harapan mas. Namun, mas sering kecewa. Mungkin sebab mas tak pandai berdebat. Jadi, apabila kata-kata mas dipotong dan dibangkang, mas lebih suka mendiamkan diri. Apatah lagi jika bercakap dengan seseorang yang memang pandai berkata-kata. Pandai memintas cakap orang. Seseorang yang prinsipnya 'yang penting jawab'. Walaupun jawapannya tu jelas-jelas memperbodohkan kita..

Apabila ini berlaku, apabila apa yang ingin diluahkan tidak berkesampaian,ia hanya akan berlegar-legar dalam kepala. Rasa tidak puas hati pasti akan berterusan. Ia memang menyakit dan menyeksa jiwa selagimana ianya tidak diluahkan. Namun kadang-kadang, apabila ingin diluahkan kepada yang berkenaan, apabila kita ingin memahamkan yang berkenaan tentang apa yang kita rasa, tentang ketidak puasan hati, tentang harapan dan keinginan kita, kita hanya akan dituduh mengungkit. Tak habis-habis bercakap tentang perkara yang sama. Lebih teruk, apabila mereka langsung tak mahu mendengar penjelasan kita... Akhirnya, kita juga yang kecewa. Ia juga hanya akan menambah rasa sakit hati yang sedia ada...

Oleh sebab itu, apabila lidah tidak mampu lagi berkata-kata, tinta merupakan jalan terbaik untuk meluahkan perasaan. Ianya lebih selamat.

Melalui tinta, segala yang berbuku didada dan kepala dapat diluahkan tanpa dibangkang, dipotong atau dicelah oleh sesiapa. Kita bebas menuulis apa yang kita mahu. Tak siapa boleh halang apa yang kita ingin tulis. Kita juga dapat luahkan segala apa yang bersarang dalam kepala.

Luahan perasaan melalui tinta ini juga lebih selamat, kerana apa yang kita tulis dan luahkan, dapat disaring dan diedit. Kadang-kadang sewaktu menulis, tulisan yang terhasil, adalah campuran dari emosi yang tidak stabil.Jadi, apabila diperhalusi semula dalam keadaan emosi yang lebih tenang , dan akal dapat berfikir dengan rasional, kita boleh menilai semula sama ada tulisan itu patut atau tidak...

Air mata selalu diibaratkan seperti senjata wanita. Ada yang mengibaratkannya seperti teman wanita. Memang... Apabila emosi bercampur aduk, berkecamuk dan sebagainya, air mata merupakan medium terbaik untuk melegakan segala yang berbuku didada. Rasa sedih, sakit hati, marah, geram, benci dan rindu dapat dilepaskan semuanya.

Ada waktu, lidah tak dapat berkata, jari tak mampu melarik, air mata lah teman terbaik. Sewaktu dada terasa berat, hati kecil tersentuh dengan sikap dan kata-kata seseorang, air mata juga lah yang mampu melerai semua rasa. Ya.., tidak semua apa yang kita rasa dalam dada, kita ingin luah atau berkongsi dengan seseorang. Ada waktu kita ingin pendam semua perasaan tersebut, dalam masa yang sama, kita tak ingin ianya menyesakkan jiwa. Caranya... Luahkan dengan air mata...



Bagi mas, tangisan memang mampu menenangkan jiwa yang bergelodak...memang...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan