Jumaat, 4 Disember 2009

Bila bibik balik kampung...

Ada orang gelar 'orang gaji' ada yang panggil amah, tapi bagi mas, mas lebih suka guna istilah 'pembantu rumah'... Sebab bagi mas, istilah tersebut lebih menunjukkan fungsi mereka dalam sesebuah rumah tangga, iaitu membantu urusan rumah tangga, seperti mengemas rumah, mencuci pakaian dan pinggang mangkuk serta menjaga anak-anak ketika mas dan suami keluar bekerja..

Namun tugas hakiki seorang ibu, seperti mengasuh, mendidik dan memberi kasih sayang untuk anak-anak, tidak seharusnya diserahkan kepada pembantu. Apatah lagi tugas hakiki seorang isteri, seperti melayan suami jaaangan sesekali 'dibantu' oleh pembantu rumah...
Masa mula-mula nak ambil pembantu dulu, memang terasa bimbang. Macam-macam cerita yang kurang enak mas dengar. Bimbang anak-anak didera, tak kurang cerita-cerita pembantu rumah yang memasukkan benda-benda kotor dalam makanan majikan, itu belum lagi cerita-cerita tentang pembantu yang membuat onar di rumah majikan....

Namun mas dan suami bertawakkal setelah berdoa. Ini kerana kami tiada pilihan. Setelah berpindah ke presint 18, Putrajaya ni, tiada nursery atau taska yang berhampiran.Kawasan baru. Tambahan lagi, mas mengajar di PJ, sampai rumah dah maghrib. Suami pula selalu 'out station'. Jadi, nak tak nak pembantu rumah adalah pilihan yang terbaik mas ada.

Alhamdulillah, nasib menyebelahi mas. Pembantu rumah yang mas dapat, memenuhi kriteria harapan mas. Dia menguruskan rumah mas dari anak 2, hingga anak mas bertambah menjadi 3. Masa mula-mula pembantu ni sampai, memang ada masalah-masalah yang berlaku. Tapi masalah tersebut mas cuba atasi dan selesaikan. Alhamdulillah, bukan sahaja masalah selesai, tapi mas sendiri belajar dan menyedari banyak perkara dari masalah yang timbul.

Antaranya, kita majikan sering terlupa bahawa pembantu rumah yang datang ni 'kurang cerdik' , sebab itu mereka menjadi pembantu rumah. Oleh sebab itu, kita sebagai majikan, mestilah menggunakan kecerdikan yang kita ada dalam berkomunikasi dengan mereka. Arahan dan suruhan kita mestilah jelas dan tepat. Ramai kawan-kawan mas yang ada pembantu ni mengatakan benda yang sama. Mereka ni, apa sahaja arahan yang kita bagi, meraka akan kata "ya", "baik". Walaupun sebenarnya mereka tak berapa faham atau langsung tak faham arahan dan suruhan kita.

Kadang-kadang ada kesilapan dan kesalahan yang mereka lakukan semasa mengurus rumah kita, jadi kita sebagai majikan, juga harus menggunakan kecerdikan kita dalam menguruskan situasi ini. Kita kena ingat, kesilapan tersebut berlaku sama ada datang dari kita sendiri yang tersilap cara memberi arahan, kerana kita sangka mereka secekap kita menerima arahan... atau memang datang dari ketidakcerdikan mereka melaksanakan arahan tersebut...
Apapun kita yang kena cerdik mengurus situasi.

Niat mas masa mula-mula ambil pembantu ni dulu, cukup lah kalau dia boleh menjaga anak-anak mas dengan baik semasa mas bekerja, dan melakukan kerja rumah yang asas. Mas tidak berharap dia cerdik sangat, tapi biarlah boleh diajar dan faham dalam menerima arahan. Alhamdulillah,doa mas Allah dimakbulkan.

Kini setelah dua tahun dia berkhidmat, dari anak mas 2 orang, dah bertambah jadi 3, memang mas terasa ringan. Kerja-kerja rumah yang asas, mas tak perlu monitor dan ingatkan selalu. Semuanya selesai mengikut arahan. Anak-anak mas pun dijaga dengan baik.
Mas selalu ingatkan pembantu mas. Kalau dia jaga anak orang dengan baik, orang akan jaga anak dia dengan baik. Tapi kalau dia buat jahat dengan anak orang, Allah boleh balas benda yang sama pada anak-anak dia. Mas juga selalu ingatkan dia supaya takutkan Allah. Sebab, Allah maha melihat. Pada mas tak guna kalau pembantu hanya takutkan majikan, kerana ianya seperti tikus takutkan kucing,bila kucing tiada tikus menari-nari ...

Bulan puasa baru-baru ni, emak pembantu mas ni meninggal dunia. Mas bersimpati. Mungkin sebab mas pun pernah melalui situasi yang sama ketika arwah bapak mas meninggal, dan mas berada jauh di perantauan. Dia minta balik ke indon lebih awal. Kira-kira 2 minggu hari persekolahan masih berbaki. Atas dasar kemanusian, mas usahakan. Mula-mula pening juga fikir siapa yang jaga anak-anak dalam tempoh 2 minggu tu. Alhamdulillah,mak mertua bermurah hati sudi menjaga cucu-cucunya..

Apapun mas nak ucapkan terima kasih bebanyak untuk mertua kerana sudi menjaga anak-anak yang tengah lasak tu. Semoga Allah sahaja yang membalasnya... Amin..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan